PUASA ENAM IBARAT PUASA SETAHUN
Alhamdulillah kita tamat  menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini. Sama-samalah kita  mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping  itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang  Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat  diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan  1431H. akan datang.
Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat  puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah  intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya  Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga  setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.
Sungguhpun  begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah  menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia  boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau  mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Nabi Muhammad saw. bersabda  "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari  dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."
Sebagaimana  yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana  kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini  untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun,  kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan  Ramadhan.


 
No comments:
Post a Comment